Baik lewat dari tidak.

Betapa geramnya hati apabila cuba melawati belog sendiri, yang menyambut kehadiran ialah sebaris ayat yang berbunyi “The server is temporarily unable to service your request due to the site owner reaching his/her bandwidth limit. Please try again later.” Aduh, geramnya! Bukan itu sahaja, perkara ini berlaku semasa saya ingin menerbitkan draf dalam Bahasa Malaysia yang diilhamkan sempena Hari Kebangsaan ke-48. Memang terasa sedih berbaur marah (dan bodoh juga!). Walau bagaimanapun, saya tetap akan meneruskan hasrat yang tergendala ini. Seperti kata-kata orang putih, “Better late than never”. Yang tidak berapa faham tu, maksudnya lebih baik lewat dari tidak.

Tanpa membuang masa, biar saya ucapkan sekali lagi kepada sekalian penghuni negara Malaysia, Selamat Hari Kebangsaan! Saya cintakan Malaysia. Apa hendak dibuat, tanah tumpah darahku kononnya. Walaupun saya sering mempersendakan keadaan politik negara ini, niat saya bukanlah jahat. Saya cuma ingin negara ini untuk berhenti berangan-angan. Saya sememangnya telah jelak dengan ahli-ahli politik yang menutupi mata rakyat dengan janji-janji kosong dan aktiviti PR yang mengkagumkan.

Sebenarnya, saya tidak kisah siapa yang memerintah negara ini asalkan kerajaan tersebut bijak menangani isu ekonomi dan yang paling penting sekali, menyayangi rakyat. Tapi memang jelas kelihatan bahawa kerajaan sekarang amatlah mengecewakan. Saya tidak faham bagaimana manusia-manusia yang mempunyai akhlak dan logik seorang budak berusia lima tahun dapat berkeliaran di parlimen sambil melafazkan ayat yang berbau diskriminasi dan kebodohan. Saya memang tidak faham! Oleh itu, harapan saya pada hari yang mulia ini ialah pada hari mengundi yang seterusnya, rakyat akan bijak memilih. Sekurang-kurangnya nisbah kemenangan dan kekalahan dapat diimbangi. Nescaya, ini dapat mengurangkan keangkuhan kerajaan yang menang. Biarlah mereka tahu bahawa rakyat yang memilih mereka, rakyat juga dapat menumpahkan mereka.

Cukuplah keluhan hati (rasanya ramai yang sudah tertidur), biar saya bercerita serba sedikit tentang cara sambutan Hari Kemerdekaan ala kimberlycun. Saya menyambut hari istimewa tersebut dengan Mak dan adik tersayang di kompleks membeli-belah. Kreatif, kan? Dengan perasaan yang teramat bangga saya mengumumkan kejayaan saya membeli 2 helai baju yang berharga RM8 setiap satu. Bukan main-main RM8, baju-baju tersebut berlabel mahal! Tidak kisahlah ciplak atau ori asalkan cantik. Hanya di Malaysia! Hehehehe.

Oh ya, saya juga diperli pekerja Bata sebab saya cuba memakai selipar Bubblegummers. Maklumlah, selipar budak kecil. Saya tahulah saya ini kekadang perasan sedikit tapi selipar tu comel sangat! Saya memang berniat hendak membeli sepasang tapi apakah daya, tapak kaki terkeluar seinci :(

Berkenaan sesuatu yang tidak beberapa relevan, siapakah di sini yang mempunyai rahsia kurus badan? Saya secara rasminya boleh diistiharkan sebagai betina berpeha tongkang dan bermuka pau. Tolong, tolong, tolong!

Baiklah, sekian sahaja coretan saya. Diharapkan kalian terhibur dan jika tidak, bohong pun cakap terhiburlah!

SELAMAT HARI KEBANGSAAN!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *